Friday, May 9, 2014

Kem Penrissen Batu 8 #1999

Aku mula pindah masuk ke kem ni masa tahun 1999, masa tu aku menetap di blok CF3. Waktu tu aku berjiran dengan 1 keluarga dari semenanjung, si suami bernama Zaidi dan isteri bernama Liza, mereka ada 2 orang anak bernama Amin dan Mira (tak silap aku) kemudian masuk tahun 2000 mereka pun berpindah ke Kuala Lumpur, menetap di Sungai Besi. Alhamdulillah keluarga kami masih lagi menjalin silaturrahim sehingga ke hari ini.

Di jiran atas rumah aku pula ada sepasang suami isteri, si suami bernama Midon dan isteri bernama Ina, waktu itu mereka ada seorang anak bernama syuhada. Pada november 2013, Mejar Midon telah meninggal dunia semasa tidor. Aku masih ingat lagi jasa arwah semasa kami baru saja sampai ke rumah dari pasar malam Satok ( kini tiada lagi ) kami tidak dapat memasuki rumah kerana masalah pada tombol pintu, bapa ku kemudian meminta pertolongan dari Encik Midon dan kami berjaya masuk ke rumah. Pada tahun 2000 juga keluarga yang menetap di tingkat 2 atas rumah aku ini berpindah.

Berhadapa rumah Encik Midon dan Puan Ina, ada sepasang suami isteri dan ada seorang anak kecicl perempuan tetapi aku tidak begitu mengenali mereka kerana aku hanya berkawan dengan amin yang berjiran dengan aku dan asyraf, jiran di CF 4.

Di tingkat 3  ada seorang abang bernama Hafiz, dia pada waktu itu berada di darjah 5 ( 1999 ) dan aku berkawan dengannya kerana kesudian dia meminjamkan video tape cybercop kepada aku dan pada musim cuti sekolah hujung tahun, keluarganya mengadakan majlis berkhatan dengan menjemput ramai tetamu, tetapi aku pada masa itu melepak di rumah amin kerana tidak suka menghadiri majlis sebegitu. Tiba-tiba ibu si amin, memadamkan tv dan meminta kami mendengar suara Hafiz menjerit, sebenarnya dia ketakutan dan cemas kerana pada waktu itu ramai tetamu hadir dan dia berasa kurang selesa hingga berlari masuk ke rumah jiran nya iaitu auntie Yuni, dia berjaya ditangkap dan disunatkan. Sejak itu dia pun berpindah tetapi tidak tahu kemana.

Bersebelahan rumah si Hafiz pula rumah Auntie Yuni dan suaminya, maaf aku terlupa nama suaminya. Seingat aku di penghujung tahun 2000 juga Auntie Yuni berpindah ke semenanjung. Hingga kini ibu aku masih berkawan dengan Auntie Yuni. Semacam 1 pertemuan pula bila keluarga kami berpindah ke Kuala Lumpur, kami kembali menjalin silaturrahim dengan jiran-jiran kami di CF 3 dulu tetapi suasana sudah berbeza buat aku.

Pada waktu itu aku ke sekolah di SK Wira Jaya, di kelas 1 putih. Guru kelas aku ketika itu ialah Cikgu Madinah binti kadri. Aku ke sekolah menaiki trak askar bernombor 18 dari unit 3 skuadron. Jangan terkeliru dengan sebuah lagi trak 3 skuadron iaitu 18A yang mengambil dan menghantar budak-budak SK Mejar Jeneral Dato Ibrahim Kem Semenggo Batu 7.

Masih ku ingati, pertama kali aku menaiki trak itu. Ayah aku menemankan aku dan abang ku menaiki trak itu. Kami selamat sampai ke sekolah dan masa pulang kami serba cemas kerana tidak tahu nombor trak itu dan kami juga tidak diberitahu di mana trak itu menunggu pelajar/penumpang untuk dihantar pulang. Mujurlah selepas melepasi pos kawalan kem kami ditegur oleh seorang sahabat yang memanggil kami dengan bertanya ' wey tadi korang naik trak 18 kan ? ' aku dan abang aku pun mengangguk tanda setuju. Kami pun menaiki trak itu yang sedang menunggu sambil driver trak ketika itu Patrick dan pembantunya Bundal yang juga tukang jaga di belakang trak yang bertugas menurunkan tangga untuk memastikan para penumpang/pelajar turun dengan selamat. Ketika itu trak 18 belum ada tangga yang siap pasang untuk memudahkan kami turun naik, hanya tangga manual yang diperbuat dari kayu saja yang ada. Bila kami hendak menaiki trak, tangga itu akan diturunkan dan bila kami sudah menaikinya tangga itu akan ditarik ke atas.

Ashraf, kawan yang aku kenali kerana menegur aku dan abangku sejak itu menjadi kawan kami. Aku dan Hafiz sempat juga melepak di rumah Ashraf bermain game tape dan dia juga yang memperkenalkan  aku yang rumah di depan blok CF4 nya itu adalah sebuah rumah kelab golf di mana ada menjual air tin dan gula-gula. Rumah itu tidak selalu dibuka kerana hanya dibuka bila ada pegawai-pegawai yang bermain golf di kawasan kem itu. Ashraf berpindah sebaik saja cuti sekolah hujung tahun bermula dan aku sedikit sedih kerana sejak itu aku tidak lagi bertemu dengan dia, masih hidup atau sudah pergi kah dia ??

Dalam tahun 1999 itu juga aku berkawan dengan Rafiq Syahmi dan Rafiq Syahir 2 orang adik beradik yang menetap di rumah CQ / rumah 1unit di depan blok flat aku. 2 beradik aku lambat kenali kerana mereka bersekolah di Sk St Thomas, sekolah untuk budak-budak pandai. Abang aku terlebih dahulu berkawan dengan adik beradik ini kerana mereka berdua, sama 1 trak askar dengan abang aku pergi ke sekolah Agama Rakyat, sebuah sekolah agama dimana para ustazah dan ustaznya terdiri daripada anggota KAGAT, Kor Agama Angkatan Tentera. Rafiq Syahir, sebaya dengan abang aku dan Rafiq Syahmi pula sebaya dengan aku. Pada tahun itu 1999 aku tidak pergi ke sekolah agama rakyat Ittifaqiyah itu.

Di blok bersebelahan ( CF4 ) ada seorang lagi rakan sekolah aku bernama Naim, aku mula perasan kewujudan dia sebab dia satu kelas dengan aku, fakta ini aku sedikit ragui kerana aku ingat-ingat lupa oleh kerana pada waktu itu bila mata pelajaran agama islam kelas kami 1 putih akan berkongsi 1 kelas dengan pelajar 1 kuning, jadi aku terlupa sama ada si Naim ini 1putih dengan aku atau lain kelas. Sebab semasa darjah 1 itu aku tidak ada ramai kawan oleh kerana aku budak baru pada waktu itu. Bapa si Naim iaitu Mohd Kamal ( betulkan jika aku tersilap ) seorang yang bagus dalam bab agama dan ibu nya ustazah di sekolah Wira Jaya itu. Inilah yang dinamakan dekat tapi jauh.

Di blok CF 2 pula ada adik beradik yang bernama Nazrin dan Syah, tidak banyak yang aku tahu tentang mereka ini kerana aku berkawan dengan mereka ini pada hujung tahun, tapi jangan risau. Tahun 2000 mereka masih ada di blok itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.